Monday, August 27, 2012

semoga Allah senantiasa merahmatimu

Bismillahirrahmanirrahim..
 Semoga Allah mengampuni dosamu,merahmatimu selalu dan menempatkanmu di syurgaMu yang telah dijanjikan...Nantikan kehadiranku mak di sana.

Entah bagaimana satu keinginan yang datang dari sudut hatiku yang dalam untukku mewarnai kembali blog ini yang bertahun lamanya tidak terusik. Aku memilih entry ini untuk aku coretkan semula blog ini. pemergian ibuku sudah hampir setahun berlalu. Namun ku rasakan bagaikan semalam sahaja ianya menjawab panggilan telefonku untukku bertanya khabar disaat dia dimasukkan ke dalam wad HTAA.

Kini tiada lagi suara lembut itu selalu bertanya bila akan kembali menziarahinya bilaku menelefonnya walaupun telefonnya aku itu untuk memberitahunya bahawa aku telah selamat sampai ke KL setelah pulang menziarahinya nun jauh di kampung halamanku tercinta di Kg Tok Kah Dungun.

Mak pergi buat selamanya setelah hampir 2 tahun ayahku pergi dulu daripadanya. semoga mak bertemu semula dengan ayah di syurga. Benarlah kata cerdik pandai dan alim ulama "kita tidak akan mengetahui betapa besarnya nilai sesuatu itu sehinggalah kita kehilangannya"

Namun begitu, sebagai seorang muuslim yang berimankan Allah itu esa dan Muhammad itu pesuruhnya kita yakin setiap yang bernyawa itu pasti akan menemui ajalnya.

Ku terpanggil juga untuk mencatatkan sesuatu di entry ini setelah pagi ini ku mengajar di sebuah kelas dengan tajuk "Sifat Allah : Hayat". Sesungguhnya Allah itu maha hidup dan tidak akan mati buat selamanya.

Sedang asyikku bercerita dan berceloteh dengan anak didikku, tiba di bahagian peringkat-peringkat kehidupan manusia yang bermula dari janin-bayi-kanak-kanak-alam persekolahan-alam pekerjaan-usia emas-alam barzakh. Ini semua peringkat yang dilalui oleh setiap manusia. Ada manusia yang bertuah dapat merasai semua peringkat kehidupan ini bermula dengan janin sehinggalah ke alam barzakh. Ada juga manusia yang lebih bertuah bermula dari janin sampai ke pertengahan peringkat sahaja terus menemui jalan singkat ke alam barzakh.

Dalam hilai gurau ku bertanya kepada anak didikku, adakah kamu semua yakin dapat melalui semua peringkat? sambungku "saya dah dapat melalui sampai ke peringkat alam pekerjaan" tiba-tiba ada seorang muridku menyahut guruanku, katanya "Ustaz ada 2 step ke lagi ke alam barzakh"

Terdiam seketika kelas,semua mata memandang ke arah anak itu kemudian ke arahku, lalu aku melemparkan senyuman yang membuatkan kelas itu gamat kembali dengan halai tawa.

Setelah kelas berakhir, aku berjalan keluar menuju bilik guru sambil mengenangkan kembali peristiwa sebentar tadi yang membuatkanku melewati kelas-kelas yang lain dalam senyuman kecil. Jauh disudut hatiku berterima kasih keatas anak itu yang telah mengajar aku "sesuatu" hari ini. Ianya juga telah memutarkan kembali memori bersama ibuku di suatu masa dulu. Terima kasih nak, aku rindu mak...