Saturday, September 1, 2012

Johor terlalu jauh bagiku

Ianya terlau jauh bagiku..setelah usiaku mencecah 33 tahun barulah kakiku menjejaki bumi yang kata orang semangat melayunya cukup tinggi. kali ini aku berpeluang merasai dan melihat sendiri. Aku bersama dengan keluarga kecilku mengunjungi rakan kepada isteriku yang sudah 7 tahun tidak bersua muka. Tanggal keramat 31 Ogos 2012 mengukir sejarah juga buatku mengunjungi ke daerah yang bagiku pintu gerbang negeri Johor iaitu Tangkak. Sebelumya banyak perkara yang bermain di benak mindaku tentang negeri bertuah ini. Namun begitu sekembalinya aku dari sana dalam perjalanan pulang ada beberapa perkara menarik mencuri kotak memoriku untuk ku kenang..

Antara pengalaman yang menariknya;
1. Kami disambut bagaikan seorang tetamu yang dinanti begitu lama kehadirannya. Bermula dengan kawan kepada isteriku, suaminya serta ibunya. setelah hampir 5 minit ku berada di ruang tamu tiba ayahnya yang begitu ramah dan mesra bertanya khabar bagaikan aku sudah bertahun-tahun mengenalinya walhal itulah kali pertama ku bertemunya...Hati kecilku membenarkan memang inilah semangat "melayu" yang diasuh oleh Islam memuliakan tetamu.

2. Rancak aku berborak bersama si ayahnya dari hal keluarga sampaikan isu politik dan negara. Tiba-tiba aku diaju satu soalan, yang kalau akulah tidak akan bertanya kepada seseorang yang baru kukenali..."Awak gunting apa? katanya. Aku yang agak lurus memikirkan soalannya, gunting apa yea...lalu ia mengajukan semula soalannya dengan penuh yakin dan terang.. Awak undi apa pilihanraya hari tu? Terkedu juga aku dibuatnya..lalu aku menjawabnya dengan "jawapan selamat"..Sambil itu mindaku laju berjalan mengingatkan aku dengan beberapa fakta. Pertama, bumi Johor ini tempat lahirnya parti melayu UMNO, tentu sekali rakyatnya pendokong setia parti ini dan kerajaan yang memerintah. Setelah agak lama bersembang tanggapan awalku agak meleset.

3.Benda alah ini...
Rasanya agak lama aku tidak membelek surat khabar ini. beberapa tahun dahulu aku agak setia dengan akhbar ini terutama pada setiap Ahad aku medapatkannya walaupun harga lebih mahal dari hari-hari biasa. Hari ini di bumi "semangat melayu" ini aku berpeluang semula membelek lembaran demi lembaran naskah ini. Setelah beberapa helaian tanganku terhenti untuk meneruskannya. Di sudut kotak ingatanku memoriku berputar semula. pada pandangan liarku naskah yang ada di tanganku hari ini jauh bezanya dengan yang pernah kutatap beberapa tahun dahulu...

4. Kami dijamu makan tengahari bersama keluarga bahagia tuan rumah ini. Lauknya ringkas tapi cukup membuka seleraku. Ayam masak lemak cili padi, ikan cencaru goreng, sambal tumis ikan bilis dan ulam raja yang dipetik segar dari lamannya. Sedang aku menghabiskan sisa nasi dipingganku aku disapa sambil diberi isyarat oleh si ayahnya untukku menambah lagi nasi ke pinggan. Aku mengangguk tanda menghormati pelawaannya. Memang tabiat aku rasanya bila di rumah orang aku agak susah untuk mkn bertambah kecuali di saat memang aku lapar atau makanan itu memang kegemaranku. Kadang-kadang ada suara yang datangnya tidak diundang mengatakan aku hipokrit lah,apalah....apapun aku tak kisah. Apa yang aku tahu ini adalah hasil didikan dan ajaran kedua orang tuaku yang telah kembali menemui Ilahi. Memoriku berputar lagi. Katanya dulu, bila kerumah orang jgn duduk dan makan seperti rumah sendiri. Aku masih ingat lagi dulu-dulu, apabila ibuku pulang dari menghadiri jamuan kenduri pasti ia akan makan lagi dirumah. Walaupun kami sekeluarga telah makan dijamuan tersebut pasti pabila pulang kerumah dia akan masak sesuatu buat kami. Terima kasih mak,ayah..

5. Setelah makan tengahari aku terus menghala ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat bersama dengan si suaminya dan abangnya yang baru tiba. Setibanya aku di masjid, penglihatanku sekali lagi membenarkan inilah negeri "semangat melayu" memang hebat. Ramai yang berpakaian baju melayu, malah ada ada yang lengkap bersampin di hiasi dengan songkok tinggi yang jarang ku dapat saksikan ditempat lain. Barangkali songkok tinggi ini juga telah membuatkan solat jumaat aku hari itu lain dari yang lain. Sewaktu aku bangun untuk meneruskan rakaat kedua, pinggulku terkena sesuatu di saf belakang menyebabkan kedudukan aku sedikit terkeluar dari saf. Apabila selesai berdoa kuberpaling kebelakang memang ku nampak seorang pakcik memakai songkok tinggi yang terus membuatku wajahku tersenyum kecil.  Di bumi bertuah ini juga semangat sayangi Rajanya juga terserlah. Apa tidaknya, dalam khutbah Jumaat disisipkan doa khusus untuk kedua raja, putera mahkota serta kerabat baginda dan doa ini diulang semula oleh imam setelah berakhirnya solat. Bagiku juga, pengalamanku sebelum ini tidak pernah merakamkan peristiwa seumpama itu.

6. Aku pengguna celcom sejak beberapa tahun dahulu. Tidak pernah rasanya aku disekitar lembah klang ku lihat sambungan talian ditelefonku berada pada sambungan 3.5G,biasanya 3G sahaja, tapi bila ku berada di bumi bertuah ini kudapati 3.5G yang membuatku rasa sedikit teruja. Almaklumlah aku ini jenis yang sangat gilakan ICT dan gajet2. Tapi perkara yang ke6 ini tiada kena mengena dengan semangat melayu di bumi johor ini...

7. Setelah hampir seharian ku bertamu di rumah ini,aku sekeluarga bersiap untuk pulang. Dikesempatan yang terbatas ini si ayahnya masih lagi sempat untuk mengajak aku berbicara soal politik tanah air. Aku tidak kekok untuk bersamanya dalam soal ini kerana bidang ini juga merupakan satu bidang yang tak pernah ku "ketinggalan zaman". Masih terngiang di telingaku suara tegas si ayahnya seolah-olah mengingatkan bahawa perkara tersebut amat penting. Kataya "Kita mesti ubah kali ini demi masa depan anak cucu kita"...Aku mengangguk tanda setuju dan ia telah membakar semangatku sebenarnya.

Aku bergerak pulang meninggalkan laman bertuah bumi Johor dengan pengalamanku yang telah menyingkirkan segala prasangkaku sebelum ini dan menjawab segala persoalan yang bermain di fikiranku demikian lama. Terima kasih teristimewa kepada:
1. Iste3 yang tercinta kerana membawa aku ke bumi bertuah ini.
2. Keluarga yang ku bertamu di rumahnya, semoga Allah memurahkan rezekinya dan senantiasa di dalam rahmat Ilahi.
3. Anak-anakku tersayang kerana cukup "sporting" sepanjang disana.
4. Alhamdulillah syukur pada Allah kerana memberi peluangku berjalan mengenali dunia ciptaanmu dan menelusuri kebesaranMu seterusnya menginsafi kesalahanku.

2 comments: