Thursday, September 6, 2012

Saya suka kerja saya..


Hari ini aku menghadiri Taklimat Pengawasan UPSR di sebuah sekolah di Dengkil. Tugasan ini pernah aku buat semasa aku mula posting tahun 2006 dulu. Tahun-tahun berikutnya aku sebagai SU peperiksaan sekolah bertanggungjawab mengurus perjalanan UPSR di sekolah. Pada tahun ini aku pulak yang pergi ke sekolah lain utk mengawas.

Semasa 'dipaksa' untuk mengisi borang sebagai pengawas peperiksaan di awal tahun yang lalu hatiku agak berat juga untuk menghantarnya tapi setelah memikirkan kembali akhirnya ku hantar juga. Apa salahnya ku mencuba lagi mengutip pengalaman ini bagi mewarnai duniaku seorang guruku.

Setelah Taklimat berakhir pagi tadi, kami yang rata-rata kali pertama bersua muka asyik bersembang perihal sekolah masing. Aku terdengar perbualan di antara 2 orang guru di hadapan aku. Perbualan mereka berdua ini telah menyebabkan hatiku berbisik "kenapalah kau memilih profesion ini?"

Dua orang guru ini bercerita tentang perihal memohon utk mengisi jawatan nazir sekolah atau guru cemerlang. Kata guru A ni, "kalau jadi guru cemerlang kita akan jadi CIKGU JEE sepanjang perkhidmatan kita,kita tak boleh jadi benda lain dah". Jiwaku meronta untuk menyampuk perbualan mereka tapi ku sabarkan diri.

Kata-kata cikgu A telah membuatkan ku tertanya-tanya sendirian. Apa lagi yang dia nak jadi? Adakah guru ini batu loncatan utk jadi benda lain? Perkataannya CIKGU JEE benar-benar membuatkan ku rasa sedih. Tanpa cikgu kamu juga tidak bergelar seorang guru. Besar dan mulianya seorang guru. Aku teringat sebuah mafhum hadis "terputus amal kebajikan anak adam itu melainkan dengan 3 perkara, pertama Ilmu yang diajarnya kepada orang lain, kedua sedekah jariahnya, ketiga anak soleh yang selalu mendoakan kedua orang tuanya. Walau apapun niat dan hasrat cikgu A ini aku hormati perbezaan pendapat dan pandangan antara kami.

Pada diriku, aku bersyukur pada Allah yang meletakkan aku di dunia pendidikan. Terima kasih ayahku yang sentiasa mendoakan untuk aku menjadi seorang guru. Sewaktu aku masih dibangku sekolah lagi, kalau aku bersama ayah menemui rakan-rakannya pasti dia memperkenalkan aku dan mengatakan kepada rakannya "ini anak aku, nanti besar nak suruh jadi cikgu". Alhamdulillah doa dan hasrat ayahku dikabulkan Allah, malah sebelum dia meninggalkan aku, aku telah bergelar seorang guru.

Walaupun tugasan guru hari ini agak berbeza dengan guru dulu-dulu, mungkin kerana berbezanya zaman dan cabarannya, aku tetap cinta dan sayang dengan kerja mulia ini. Ingatan buat diriku hati kena ikhlas, output kena sesuai dengan tuntutan zaman dan peringkat anak-anak dan akhirnya tentu sekali kena setimpal dengan gaji yang diberi...

No comments: